Wartawan Utusan Online II 15 April 2017
TANJONG KARANG - Seorang kelindan lori treler terpaksa menahan sakit hampir sejam selepas tersepit di tempat duduk dalam kejadian kemalangan di Batu 10, di sini malam kelmarin.
Mangsa, Shahril Ahmad, 30-an, tersepit di bahagian kaki selepas kenderaan berat yang dinaikinya merempuh bahagian belakang sebuah lori kontena dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima laporan orang awam mengenai kejadian itu pada jam 6.04 pagi.
“Sebaik menerima laporan, sebuah jentera FRT bersama sembilan pegawai dan anggota yang diketuai pegawai operasi, Zuraini Mohamed bergegas ke lokasi kejadian.
“Kaki mangsa didapati tersepit di bahagian tempat duduk di dalam sebuah treler yang remuk di bahagian depan bagaimanapun lori kontena tiada di lokasi kejadian,” katanya.
Azmi menjelaskan, bomba mengambil masa hampir 30 minit menggunakan alat pemotong hidraulik khas untuk mengeluarkan mangsa tersepit.
Bagaimanapun kerja menyelamat berjalan lancar dengan bantuan sebuah jentera FRT dan EMRS BBP Sekinchan.
“Saya difahamkan mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Pelabuhan Klang melalui jalan ini dan pemandu dipercayai tidak mengalami kecederaan.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan susulan,” katanya.
|
Kemaskini pada 2017-04-21 15:45:48 daripada Administrator