Wartawan Sinar Online II 16 OKTOBER 2017
TANJONG KARANG – Sebanyak RM550,000 diperuntukkan bagi pembangunan Kampung Bukit Belimbing, di sini sempena Walkabout Mingguan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bersama pemimpin setempat.
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menjelaskan, peruntukan itu meliputi projek fizikal dan bekalan beras.
Menurutnya sebahagian peruntukan itu, sebanyak RM100,000 diluluskan kementerian bagi kerja baik pulih Jalan Hasan, Tok Empat Masjid Kampung Bukit Belimbing dan kerja lain berkaitan.
“RM100,000 lagi untuk membaik pulih jalan kebun sawit di persekitaran kampung ini termasuk jalan kebun di kawasan Ujong Permatang serta kerja berkaitan.
"Lagi RM50,000 lagi diluluskan untuk membina pagar baru bagi Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Belimbing selain membina pondok kubur dan kerja berkaitan,” katanya.
Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor itu turut memaklumkan peruntukan sama turut disalurkan untuk Projek Mesra Rakyat dengan kos yang diluluskan sebanyak RM150,000.
“Projek Mesra Rakyat ini pula melibatkan kerja menaik taraf pembangunan sekolah iaitu surau Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Belimbing dan kerja berkaitan dengan kos RM50,000.
"Agihan bantuan beras melibatkan kos RM100,000 juga diluluskan untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Permatang, Sungai Terap, Ujong Permatang dan Bukit Belimbing.
“Lagi kampung yang terlibat adalah Raja Musa, Bestari Jaya, Sungai Yu, Seri Tiram Jaya, Kampung EQSW Sawah Sempadan, Parit Serong, Kampung Hang Tuah dan Sungai Gulang-Gulang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada penduduk, Kamariah Bajuri, 64, dan menziarahi enam lagi rumah penduduk yang dipilih untuk walkabout itu.
Mengulas lanjut mengenai aktiviti itu, Noh turut menolak sindiran segelintir pihak yang mendakwa program walkabout itu dianjurkan semata-mata menjelang pilihanraya.
“Program turun padang ini sudah diamalkan sejak lebih 20 tahun lagi dan setiap minggu, pasti ada program walkabout untuk menziarahi penduduk terlantar dan memerlukan.
"Program ni pun beri peluang kepada saya kenal pasti masalah rakyat selain berpeluang menziarahi orang lama dalam Umno untuk bertanya khabar.
“Jika ada sindiran dan persepsi negatif mengatakan saya buat program ini semata-mata nak tambat hati pengundi sebab nak dekat pilihanraya, dakwaan itu salah sama sekali.
"Persepsi ortodoks yang kata turun padang semata-mata nak pilihanraya bukannya cara BN sebab kita sudah lama dekati akar umbi.
“Kita dah buat program ni sudah lama dan bukan trend BN yang jenguk rakyat masa pilihanraya,” katanya. |
Kemaskini pada 2017-10-17 08:42:50 daripada Administrator