SHAH ALAM, 24 NOV: Orang ramai berpeluang membuat pembelian bahan bacaan di Pesta Buku Selangor 2021
secara dalam talian menerusi platform Shopee dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor berkata perkhidmatan itu memudahkan masyarakat mendapatkan
buku sekiranya tidak berkesempatan hadir ke program yang bermula pada 2 Disember nanti.
“Untuk Shopee, pempamer akan melakukan penghantaran sendiri manakala Seldec pula dihantar oleh penghantar
mereka dengan kadar amat murah berbanding perkhidmatan penghantaran lain.
“Manakala, bagi pengunjung yang hadir pula mereka juga diberi kemudahan pembayaran tanpa tunai kerana penganjur
menyediakan kod QR,” kata Datin Paduka Mastura Muhamad kepada SelangorKini.
Sementara itu, beliau memaklumkan Pesta Buku 2021 kali ini melibatkan 121 pempamer dan julung kali diadakan secara hibrid
iaitu fizikal dan dalam talian.
“Orang ramai khususnya pencinta buku perlu menggunakan platform ini untuk sama-sama mendapatkan pelbagai bahan tersebut
yang menarik dengan harga berpatutan.
“Pengunjung tidak perlu risau kerana tatacara operasi piawai (SOP) juga ketat kerana kita hanya membenarkan 2,000 pengunjung
masuk dalam satu-satu masa,” katanya.
Pesta Buku Selangor 2021 berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini mulai 2 hingga 12 Disember depan menawarkan
lebih 200,000 buku dari dalam dan luar negara.
Sumber : https://selangorkini.my/
Kemaskini pada 2021-11-29 11:47:09 daripada FARAH