DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ
SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN
SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA

Sultan Selangor Ke-9
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor yang ke-9 pada 22 November 2001 bersamaan 6 Ramadhan 1422 Hijrah. Pemasyhuran Baginda adalah berikutan kemangkatan Paduka Ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 21 November 2001. Baginda ditabal dan dimahkotakan dengan penuh Adat Istiadat Diraja di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 8 Mac 2003 bersamaan 4 Muharram 1424 Hijrah.
Baginda diputerakan pada 24 Disember 1945 di Istana Jemaah, Klang dan adalah putera sulung kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Paduka Bonda Raja Selangor, Almarhumah Raja Saidatul Ihsan Binti Tengku Badar Shah.
Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur dan St. John Institution, Kuala Lumpur dari tahun 1954 hingga 1959 dan melanjutkan pelajaran ke Perth, Australia hingga tahun 1964 sebelum meneruskan pendidikan di Langhurst College, England sehingga tahun 1968. Baginda kemudian kembali ke tanah air dan berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Raja Muda Selangor
Pada September 1960 ketika berusia 15 tahun, Baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Selangor, dimasyhurkan dengan Istiadat Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli pada tahun 1970 di Istana Alam Shah, Klang.
Keluarga Diraja
Baginda telah dikurniakan dengan dua orang Puteri iaitu Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah, serta seorang Putera, Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor.
Ekspedisi Antarabangsa
Baginda mencipta sejarah dengan pelayaran mengelilingi dunia (1995-1996) dan menyertai cabaran memandu kereta vintaj dari Peking ke Paris (1997).
Pada tahun 2001, Baginda telah dilantik sebagai Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga kini. Pada tahun 2012, Kerajaan Perancis telah mengurniakan Baginda dengan pingat Commandeur de la Legion d'Honneur.
Baginda telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doctor of Public Administration oleh Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) pada tahun 2001 dan dilantik sebagai Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak tahun 2002 sehingga kini. Pada tahun 2018, Baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Doctor of Laws oleh University of Nottingham.









