KLANG, 22 DIS: Kerjasama masyarakat setempat dalam mengatasi isu pembuangan sampah haram menunjukkan perkembangan positif sejak
kebelakangan ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Datuk Mohammad Yasid Bidin, berkata hasil maklumat orang ramai isu berkenaan di beberapa lokasi
tumpuan kini berjaya diatasi.

Beliau berkata selain kerjasama masyarakat, MPK turut meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan risikan dalam menangani masalah yang
memberi ancaman kepada kebersihan dan kesejahteraan setempat.
“Kerjasama orang ramai dalam usaha kita mengatasi masalah sampah haram dialu-alukkan dan hasilnya di sekitar Pandamaran, masalah itu
ini ditangani dengan baik.
“Lokasi yang agak tersembunyi dan jauh dari pemantauan sering menjadi pilihan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melalukan aktiviti
tidak bermoral itu,” katanya pada program penyerahan tong sampah bertempat di Kawasan Empat Kampung Baru Pandamaran, di sini.
Yasid berkata, bermula tahun hadapan, MPK mensyaratkan setiap syarikat pembersihan yang mendapat kontrak menyediakan seorang pemantau
bagi mengekang kes sebegini.
Katanya, langkah itu bagi memastikan lokasi yang mereka selenggara terjaga melalui pemantauan 24 jam seterusnya mengelak kes pembuangan
sampah haram di situ.
Selain itu, Yasid meminta penduduk memanfaatkan pemberian tong sampah itu dan sentiasa menjaga kebersihan di kawasan rumah masing-masing.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Adun Pandamaran, Eric Tan Pok Shyong.
http://bm.selangorku.com/category/berita-selangor
Kemaskini pada 2016-05-17 16:39:57 daripada PPTM_ICT