SHAH ALAM, 19 MAC: Jabatan Pertanian Selangor giat mempromosi pertanian bandar dalam usaha membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.
Pengarahnya, Mohamad Idrus Ab. Hamid, berkata orang ramai digalakkan mengaplikasi konsep laman dapur dan ‘edible landskap’ di kediaman mereka.

Katanya, menerusi konsep itu, rakyat bukan sahaja dapat menanam tanaman hiasan malah berpeluang mengintegrasikan landskap taman dengan tanaman sayuran
dan herba.
“Hari ini, harga barangan keperluan seperti makanan semakin meningkat.
“Dengan alternatif penanaman tanaman sayuran, rakyat dapat manfaat dari segi penjimatan dan kesihatan.
“Malah, jika terdapat lebihan, mereka juga berpeluang jana pendapatan,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika Majlis Perasmian Karnival Agrikultur Selangor 2016 di Kampung Melayu Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dan Pemangku Pegawai Daerah Gombak,
Shahrul Ezad Samsudin.
Pada masa sama, Idrus berkata, penjenamaan Kampung Melayu Sungai Buloh sebagai Hub Bunga Selangor diyakini mampu melonjakkan kawasan itu sebagai tumpuan utama
industri florikultur.
“Diharap ia dapat menjadi tumpuan kepada peminat landskap, bunga-bungaan dan tanaman hiasan di Selangor.
“Seterusnya menjadi tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri untuk berbelanja di sini,” katanya
http://bm.selangorku.com/
Kemaskini pada 2016-05-17 15:40:12 daripada PPTM_ICT