SUBANG BESTARI, 8 MEI : Sistem permohonan atas talian Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak mesra pengguna dan menyukarkan pemohon mengisi borang permohonan melalui
sistem berkenaan.
Nadeeia Salimi Suleiman, 32, berkata, akses untuk menggunakan capaian Internet pada laman sesawang berkenaan terhad terutamanya pada penggunaan waktu puncak.

“Bila kita attach (lampiran) beberapa dokumen seperti kad pengenalan dalam sistem itu, talian terus terputus dan saya tidak boleh akses laman itu semula.
“Memang diakui ramai orang yang cuba mengisi borang permohonan atas talian sebab ia lebih mudah. Tetapi kemudahan yang sepatutnya mudah itu jadi sukar kerana kegagalan sistem tersebut.
“Sepatutnya perlu ada kemaskini dan penambahbaikan yang lebih memudahkan masyarakat,” katanya kepada SelangorKini.

Justeru, beliau mengambil peluang mengisi permohonan Rumah SelangorKu yang diyakini mampu merealisasikan hasratnya sekeluarga memiliki kediaman sendiri.
“Sebagai penduduk Selangor, inisiatif Rumah Selangorku ini diharap dapat membantu kami sekeluarga memiliki rumah pertama selepas beberapa permohonan rumah PR1MA kami tidak
diluluskan sebelum ini ,” katanya.

Sementara itu, Rohizuan Ab Rahman, 45, berharap permohonannya mendapatkan kediaman rumah mampu milik diluluskan selepas berkhidmat di Selangor sejak 14, tahun lalu.
“Selepas hampir 14 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam Selangor, saya berharap permohonan saya diluluskan.
“Lebih-lebih lagi dengan mengambil kira keadaan fizikal saya sekarang ini, saya memang memerlukan kediaman sendiri untuk saya dan anak-anak,” katanya
Sumber dari : http://bm.selangorku.com/
Kemaskini pada 2016-07-26 11:11:03 daripada FARAH