PROFAIL DAERAH GOMBAK
Daerah Gombak adalah sebuah daerah di dalam Negeri Selangor yang diwujudkan pada 1 Februari 1974 serentak dengan penubuhan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan. Daerah Gombak merangkumi kawasan- kawasan yang disusun semula seperti berikut :
> Sebahagian Mukim Ampang (Peralihan daripada daerah Hulu Langat)
> Mukim Hulu Kelang (Peralihan daripada daerah Kuala Lumpur)
> Sebahagian Mukim Setapak (Peralihan daripada daerah Kuala Lumpur)
> Sebahagian Mukim Batu (Peralihan daripada daerah Kuala Lumpur)
> Mukim Rawang (Peralihan daripada daerah Hulu Selangor / Kuala Selangor)
Daerah ini terletak di kawasan Lembah Klang dan bersempadanan dengan :
-
Daerah Hulu Selangor di sebelah Utara
-
Wilayah Persekutuan dan Daerah Hulu Langat di sebelah Selatan
-
Daerah Kuala Selangor di sebelah Barat
-
Daerah Petaling di sebelah Barat Daya
-
Negeri Pahang Darul Makmur di sebelah Timur laut
Keluasan Daerah Gombak merangkumi 65,008 Hektar. Keluasan ini adalah yang ketiga terkecil berbanding dengan daerah-daerah lain dalam Negeri Selangor.
Keadaaan rupa bumi daerah ini adalah berbukit-bukit di kawasan timur, sebahagian kawasan utara dan barat. Manakala di kawasan tengah, keadaan tanah melebihi kepada tanah pamah. Sungai- sungai utama yang mengalir daerah ini ialah Sungai Gombak, Sungai Klang dan Sungai Batu.
Dari segi pentadbiran pengurusan, Daerah Gombak dibahagikan kepada 5 Mukim dan kampung-kampung. Mukim Rawang I merupakan mukim terbesar diikuti pula oleh Mukim Rawang II, Mukim Batu, Mukim Setapak dan Mukim Hulu Kelang.
Daerah Gombak ditadbirkan oleh 1 Pegawai Daerah, 5 orang penghulu dan 1 pegawai kemajuan kampung baru.
Terdapat 49 buah kampung di daerah Gombak ini, ianya terdiri daripada 35 buah Kampung Tradisional dan 14 buah Kampung Baru.
Kampung-kampung ini pula ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.
Kemaskini pada 2022-12-05 15:50:48 daripada Administrator