Tidak sampai seminggu mengemas rumah akibat banjir kilat Isnin lalu buat kali ke-empat dalam bulan November, rumah penduduk dilanda bencana lagi.

Seorang penduduk, Siti Haloyah Rahim, 47, berkata, pihaknya mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang berlarutan sekian lamanya dan semakin teruk ini.

“Air naik sampai paras pinggang, dalam rumah saja tingginya dah mencecah hingga tangga keempat. Pangsapuri berdekatan yang tak pernah kena banjir pun terjejas kelmarin.

“Paling teruk banjir 2013 pun tak seteruk semalam (kelmarin). Hujan 20 minit saja air dah naik. Semua sungai melimpah dan nak surutnya juga ambil masa lama,” katanya semalam.

Katanya, peralatan rumah banyak terjejas kali ini termasuklah peti sejuk dan mesin basuh yang tenggelam.

“Sebab semalam pulang kerja lambat sampai rumah saja air memang dah naik. Perabot yang ditinggikan atas kerusi pun tenggelam. Kabinet dapur juga kembang.

“Harap kali ini kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pihak berwajib ambil tindakan. Sungai sedia ada tak mampu nak tampung air lagi. Cari juga punca yang menyebabkan kejadian semakin teruk,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Khidmat Dun Kuang, Salasiah Disa berkata, sebanyak empat dewan dibuka sebagai penempatan sementara kepada mangsa memandangkan paras air yang tinggi membahayakan penduduk untuk berada di rumah.

“Boleh dikatakan lebih seribu rumah terjejas dan paling teruk adalah di Bandar Baru Kundang, Kampung Bunga Raya, Kampung Melayu Seri Kundang dan Kampung Orang Asli Ulu Kuang.

“Ada antara penduduk tidur di dewan dan ada juga beransur pulang selepas air mulai surut. Kami turut sediakan makanan kepada mangsa di dewan bagi kurangkan beban.

“Berbanding Isnin lalu banjir kali ini lebih teruk bila seluruh Bandar Baru Kundang tenggelam,” katanya.