RAWANG - Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan bantuan bulanan RM350 kepada ibu tunggal, Maniseh Abu Bakar, 43 bermula tahun depan.

Semalam Sinar Harian melaporkan masalah Maniseh yang buntu memikirkan masa depan anak-anaknya selepas suami, Mohd Aris Andak yang menjadi tempat mereka sekeluarga bergantung maut dalam kemalangan jalan raya bulan lepas.

Ketua Operasi LZS Daerah Gombak, Azhar Yahya Arif berkata, keluarga tersebut berdaftar di bawah LZS dalam kategori asnaf fakir miskin.

“Bantuan sebelum ini pernah disalurkan melalui bantuan persekolahan dan perayaan di bawah nama arwah suaminya.

“LZS amat prihatin dengan musibah menimpa keluarga Maniseh yang kehilangan ketua keluarga,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat lawatan ke rumah Maniseh, semalam.

Azhar Yahya berkata, walaupun bantuan bulanan akan disalurkan bermula tahun depan, namun sumbangan segera turut disediakan bagi mengurangkan beban ditanggung.

“Buat permulaan, bantuan zakat sebanyak RM3,000 disalurkan di bawah khairat kematian bagi kegunaan keluarga.

“Bantuan lain akan disalurkan dari masa ke semasa bergantung kepada keperluan keluarga dan syarat kelayakan,” katanya.

Katanya, bantuan zakat yang disalurkan itu diharap dapat membantu Maniseh dan keluarganya menampung kehidupan.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Hilang tempat bergantung’]

Sementara itu, Maniseh berkata, pihaknya berterima kasih dengan keprihatinan masyarakat yang bersimpati dengan nasibnya sekeluarga.

“Saya terima banyak panggilan hari ini (semalam) daripada mereka yang prihatin untuk membantu termasuk memberikan peralatan mesin pengadun untuk membolehkan saya membuat roti dan kek.

“Saya juga buat nasi ayam dan kek coklat dan keju jika ada permintaan tempahan. Masalah pengangkutan menyebabkan permintaan dihadkan dan pelanggan perlu datang ambil tempahan di rumah.

“Sebelum ini arwah suami yang akan hantarkan. Saya ada lesen kereta tapi tiada pengangkutan. Bila pelanggan tak boleh nak ambil, saya hadapi kesukaran untuk hantarnya dan ada juga tempahan yang perlu ditolak.

“Anak kedua ada juga bantu hantar tempahan menggunakan motosikal, tapi untuk kuantiti yang sedikit,” katanya.

Dalam pada itu, orang awam yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Maniseh bernombor 7619-8012-51.