hubungi-kami

Hubungi
Kami

faq

Soalan
Lazim

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

webmail

Webmail
 

Brita Harian - 30 November 2017( Penantian penduduk menikmati akses jalan terbaik )

image

RAWANG: Penantian selama 12 tahun penduduk di kawasan Hulu Selangor untuk menikmati akses jalan raya lebih baik tercapai apabila jalan pintas Rawang dibuka sepenuhnya sejak Selasa lalu sejak mula dibina pada 2005.
 
Laluan sepanjang sembilan kilometer yang menghubungkan dari Taman Templer ke Serendah itu membolehkan pengguna tidak perlu lagi mengharungi kesesakan teruk di pekan Rawang untuk ke ibu kota.
 
Bagi Ketua kampung, Kampung Mohd Taib, Sungai Choh, Kumar Rao, 35, mengakui penduduk sekitar sememangnya sudah lama menantikan pembukaan jalan pintas terbabit.
 
"Jalan baharu ini memudahkan penduduk ke Serendah dan kawasan sekitar untuk ke Kuala Lumpur dan Selayang. "Sebelum ini kami terpaksa melalui pekan Rawang yang selalu mengalami kesesakan yang teruk pada waktu puncak. Jadi apabila jalan ini sudah dibuka, perjalanan akan lebih cepat.
 
"Selain itu, ia juga membantu merancakkan lagi kegiatan ekonomi di Serendah dan perumahan baharu akan naik di sini," katanya.
 
Pengguna jalan pintas Rawang juga teruja melalui jalan ini kerana dihamparkan dengan panorama indah hutan Taman Warisan Selangor.
 
Pendapat itu turut dikongsi oleh Mohd Anizuan Farid Senin, 30, apabila pertama kali melaluinya selepas dibuka sepenuhnya.
 
"Apabila melaluinya buat pertama kali saya berasa teruja. Ini kerana pemandu dihidangkan panorama yang cukup cantik di sepanjang laluan ini.
 
"Selain itu, pembinaan jalan pintas Rawang ini juga mementingkan pemeliharaan apabila tidak mengganggu ekosistem hutan Taman Warisan Selangor.
 
"Sebagai penduduk Serendah saya rasa berbangga apabila struktur jambatannya diiktiraf sebagai Jambatan Tertinggi di Malaysia," katanya.
 
Jambatan sepanjang 2.7 kilometer itu berada pada ketinggian 58.2 meter dari aras tanah. Pengguna juga dapat menikmati pemandangan sekitar pekan Rawang dari lokasi terbabit.
 
Suri rumah, Noreha Jaafar, 50 turut berkongsi pengalamannya sebagai pengguna jalan pintas Rawang. Katanya sebagai penduduk yang menetap di Serendah sejak 1992, beliau mengakui sudah muak dengan kesesakan yang teruk di Rawang.
 
"Perjalanan ke Taman Templer juga menjadi singkat apabila hanya mengambil masa 10 minit pemanduan. Selain itu, ia juga memudahkan penduduk Serendah untuk ke Hospital Selayang," katanya.
 
Beliau juga cukup teruja dapat melalui jalan ini dengan keindahan dan kehijauan hutan Taman Warisan Selangor yang dianggap sebagai anugerah tidak ternilai kepada penduduk Serendah.

  •  
  • Print
  • Email this page