
GOMBAK – Seorang wanita warga Indonesia mendakwa dipukul majikan dan tidak menerima gaji sejak dua tahun lalu akhirnya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di sebuah rumah di Batu Caves di sini pada Isnin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mangsa berusia 56 tahun itu ditemui dalam keadaan ketakutan ketika bersembunyi di bawah sebuah kenderaan pacuan empat roda.
"Siasatan mendapati mangsa bertindak sedemikian atas arahan majikan bagi mengelak dikesan oleh pegawai operasi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Zakaria berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat JIM Putrajaya hasil maklumat yang diterima daripada sumber yang tidak boleh didedahkan.
"Mangsa dilaporkan telah bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa memiliki sebarang Pas yang sah.
"Berdasarkan pengakuan awal, mangsa hanya dijanjikan gaji sebanyak RM600 sebulan, namun tidak menerima sebarang bayaran gaji sejak dua tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, ketika diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan trauma akibat sering dimarahi dan pernah dipukul oleh majikan.









