hubungi-kami

Hubungi
Kami

faq

Soalan
Lazim

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

webmail

Webmail
 

24 Januari 2020 - Sinar Harian - Kemudahan Pasar Pagi Selayang Baru dipertingkat: MB Selangor

image

SELAYANG - Beberapa perkhidmatan dan kemudahan di Pasar Pagi Selayang Baru perlu dipertingkat bagi menjamin keselesaan peniaga dan pengunjung yang datang ke bangunan tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana jumlah pengunjung ke pasar baharu itu telah menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga bulan lalu.

Menurutnya, sehubungan itu beberapa kemudahan perlu ditambah taraf dan diperbaiki seperti kemudahan lif, tangga, sistem saliran dan lain-lain lagi.

"Masalah lif dijangka diselesaikan hujung bulan ini memandangkan berlaku sedikit kelewatan dari jadual ditetapkan. Masa tambahan diperlukan untuk mendapatkan alat ganti lif tersebut.

"Saya juga meminta sistem pengudaraan diperbaiki untuk elak kawasan menjadi panas selain masalah isu takungan di tingkat aras bawah yang perlu diselesaikan segera," katanya ketika Program Serahan Limau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Pasar Pagi Selayang Baru di sini, hari ini.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen diberikan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pemaju dalam menyelesaikan masalah berbangkit oleh peniaga.

"Walaupun isu pemindahan penjaja ini tertangguh lebih 11 tahun namun saya hargai sikap pemaju yang masih ingin bertanggungjawab cuma saya minta pembaikan itu dilaksanakan segera.

"Saya juga sedang berusaha menyelesaikan isu tapak baru bagi peniaga yang belum mendapat tempat. Buat masa ini, tanah gantian telah dikenalpasti dan pemiliknya juga sudah memberikan persetujuan, cuma beberapa lagi urusan perlu diselesaikan dan saya akan umum mengenainya bulan depan," katanya.

Dalam pada itu Amirudin menegaskan, beliau akan menyiasat isu caj parkir yang didakwa dikenakan kepada pengguna yang meletakkan kenderaan dalam bangunan.

"Saya sedang siasat namun difahamkan parkir itu diuruskan pemaju. Saya akan dapatkan laporan dan cari jalan penyelesaian untuk kebaikan bersama," katanya.

Pada September lalu, Sinar Harian melaporkan keengganan peniaga Pasar Pagi Selayang Baru berpindah di pasar baharu itu susulan masalah teknikal dan keciciran peniaga yang tidak mendapat tempat berniaga.

Bagaimanapun, peniaga akhirnya akur terhadap arahan yang dikeluarkan oleh MPS dan mula berpindah ke bangunan lima tingkat yang menempatkan hampir 300 ruang niaga itu pada Oktober lalu.


  •  
  • Print
  • Email this page