hubungi-kami

Hubungi
Kami

faq

Soalan
Lazim

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

webmail

Webmail
 

15 September 2020 - Sinar Harian - Cemar Sungai Gong: Lima termasuk empat beradik didakwa

image

SELAYANG - Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, baru-baru ini.
Empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 70 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel tersebut Ho Voon Leong, 59, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 Sept lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selepas mendengar hujahan pendakwaan dan peguam, mahkamah tidak membenarkan kelima-lima lelaki itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan kes pada 27 Oktober.

Pada 3 September lepas, berlaku pencemaran minyak dari kilang berkenaan yang telah menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang. - Bernama


  •  
  • Print
  • Email this page