Gagasan Rumpun Selangor jelajah ke Sepang, Raja Muda terus dekati rakyat
by Sheeda Fathil 6:21 pm
SHAH ALAM, 13 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli turun padang bertemu rakyat menerusi Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor di Sepang dari 9 hingga 11 Mei, lalu.
Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, pada hari pertama, Tengku Amir Shah berangkat ke Bangunan Tun Aziz, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang sebelum ke Saudagar Nanas Agrofarm di Kampung Sungai Merab.
Baginda kemudian menunggang kuda di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya sebelum meneruskan aktiviti lawatan di Gelanggang Futsal Taman Putra Perdana.
Pada hari kedua Tengku Amir Shah mencemar duli hadir ke majlis bacaan Yasin dan doa selamat buat pemain sayap Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, Sepang.
Pada hari sama, Baginda meninjau tapak warisan sejarah Kapal Korek Sri Banting, Dengkil sebelum ke Cyberjaya melawat ibu pejabat Aerodyne seterusnya ke Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi bagi merasmikan klinik bola sepak.
Tengku Amir Shah turut dibawa ke perusahaan kecil dan sederhana Kilang Agro Chip Kampung Bukit Bangkong untuk melihat demonstrasi pembuatan kerepek.
Baginda seterusnya menunggang motosikal menyantuni penduduk sekitar kampung berkenaan dan singgah ke Tapak Sukan Rakyat di Padang Sekolah Sri Rawang.
Pada hari sama, Baginda menyertai rewang kenduri rakyat di D’Rebung Banghuris untuk menikmati santapan malam makanan tempatan.
Pada 11 Mei iaitu hari terakhir program, Baginda menaiki bot dari Jeti Sirip Biru Bagan Lalang menyusuri Sungai Sepang sambil melihat keindahan flora fauna sekitar.
Baginda seterusnya menyempurnakan majlis perasmian penutup lumba perahu naga Piala Raja Muda Selangor di Jeti Nelayan Sungai Besar Sepang.
Baginda kemudian dibawa melawat Restoran HL Dragon Fruit Eco Farm serta mengunjungi Galeri Replika Buah Naga, meninjau pembuatan produk buah naga dan menikmati santapan tengah hari.
Program bertujuan mendekati rakyat jelata dan memupuk semangat perpaduan segenap lapisan masyarakat itu memasuki siri ketiga selepas Hulu Selangor dan Hulu Langat dan akan menjelajah ke enam lagi daerah di Selangor hingga hujung tahun ini.
Diterbitkan pada 9 Julai, 2024 Diterbitkan Oleh Administrator