|
OLEH AIDA NYAN
SEPANG, 25 MEI: Kempen Bebas Plastik anjuran Kerajaan Negeri berjaya menyatukan masyarakat di Pantai Bagan Lalang hari ini untuk menjaga alam sekitar bersama-sama.
Salehudin Jukari, 55, yang bertugas sebagai krew stor berasal dari Banting ini menyokong sepenuhnya kempen yang dijalankan secara santai namun mampu memberi kesedaran awam tentang mesej yang ingin disampaikan.
“Kempen ini beri kesedaran untuk ganti plastik dengan bahan yang lebih mesra alam sekitar. Program macam ini lebih berkesan kerana dapat tarik minat anak muda, orang tua pun rasa meriah untuk turut serta,” katanya yang datang bersama penduduk setempat.
Bagi Nur Fatin Ahmad, 35, seorang suri rumah yang hadir bersama anak-anak, program sebegini memberi peluang terbaik untuk mendidik generasi muda sejak awal lagi.
“Tanggungjawab jaga alam sekitar perlu bermula diri sendiri, kalau berkempen sahaja pun tak berguna. Program ini dapat didik anak-anak cara kutip dan buang sampah dengan betul sejak kecil,” katanya.
Ahli Persatuan Belia Wira Pekan Bagan Lalang, Amar Zafran Mohd Radzi, 30, berkata kempen ini membuka mata masyarakat tentang realiti pencemaran plastik.
“Penggunaan plastik semakin meluas. Kalau tak dibendung, alam sekitar akan tercemar. Program macam ni bukan sahaja santai, tapi sarat dengan pengisian yang mendidik peserta supaya lebih sedar tentang kepentingan menjaga alam,” ujarnya.
Bagi sukarelawan, Aliff Ritzman Merican Mohd Roslan Merican, 30, pula program siri pertama yang dijalankan di kawasan ini adalah satu langkah yang tepat selain dapat memupuk semangat kesukarelawanan.
“Bagan Lalang adalah kawasan pelancongan, jadi isu bebas plastik sangat penting untuk dititikberatkan.
“Semangat kesukarelawanan ini perlu dilatih dari awal. Bila diberi peluang menjadi sukarelawan dalam program seperti ini, ia adalah permulaan yang baik untuk persatuan belia seperti kami,” katanya yang juga Setiausaha Persatuan Belia Wira Pekan Bagan Lalang.
Sementara itu, Nurul Husna Ahmad Munawar, 24, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) melihat kempen ini sebagai platform kolaboratif yang memberi impak positif kepada masyarakat.
“Program ini berkesan sebab ia libatkan pelbagai institusi. Ia dapat membantu pupuk pemahaman lebih mendalam dalam kalangan belia terutamanya tentang kepentingan kempen alam sekitar,” katanya.
Nurul Husna Ahmad Munawar, 24
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin bergambar bersama selepas merasmikan Program Kempen Bebas Plastik Peringkat Daerah Sepang 2025 di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 24 Mei 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR