|
1:00 pm
Oleh Nas Norziela Nasbah
SHAH ALAM, 6 JUN: Program Selangor Saring fasa dua bagi mengesan penyakit lebih awal penduduk diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek dan Morib hujung minggu ini.
EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menyarankan penduduk setempat untuk membawa ahli keluarga ke program itu yang bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang.
“Berita baik khusus bagi warga Sungai Pelek dan Morib. Selangor Saring datang lagi untuk mereka yang belum berkesempatan mengambil peluang manfaat ini.
“Jangan lepaskan peluang menerima khidmat pemeriksaan kesihatan percuma meliputi pemeriksaan fizikal, ujian darah, air kencing, saringan barah, mata, gigi, telinga dan juga fisioterapi,” katanya di Facebook.
Program Selangor Saring fasa dua itu akan berlangsung di Dewan Komuniti Pantai Sepang Putra bagi DUN Sungai Pelek pada 10 Jun ini manakala di Dewan Kompleks Sukan MPKL Banting, Kuala Langat (Dun Morib) 11 Jun ini.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi talian hotline Selcar 1-800-22-6600 atau klik di pautan https://selangorsaring.selangkah.my/.
Sebelum ini, Dr Siti Mariah memaklumkan Selangor Saring antara enam inisiatif diperkenal khusus untuk rakyat negeri ini bermula dari saringan percuma, bantuan kewangan serta pembiayaan.
Kerajaan Negeri memperuntuk dana RM3.4 juta bagi melaksanakan program Selangor Saring yang menyasarkan individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.
Petugas kesihatan mengambil sampel darah pengunjung program Selangor Saring sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI