Tetapan Semula Menukar kontras kepada cerahMenukar kontras kepada asalMenukar kontras kepada gelapKecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T
img_jataselangor
Portal Rasmi

PEJABAT DAERAH DAN TANAH SEPANG

CEKAP TELUS DAN MESRA

faq-img

Soalan
Lazim

FAQ

Hubungi
Kami

Feedback

Aduan dan
Maklumbalas

sitemap

Peta
Laman

malay-flag

BAHASA
MALAYSIA

w3c

ENGLISH

w3c

W3C

Tok batin mahu Orang Asli manfaat Inisiatif Pendapatan Rakyat, noktahkan kemiskinan

Selangorkini

  10:25 am

DENGKIL, 8 JULAI: Selaras dengan iltizam Kerajaan Perpaduan yang mahu menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini, Tok Batin Juli Blat dari Kampung Sungai Buah, di sini, mahu masyarakat Orang Asli di kampungnya tidak ketinggalan untuk terlibat dalam Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi merealisasikan agenda penting itu.

Juli, 54, berkata selepas IPR dilancarkan kerajaan pada Februari lepas, beliau tanpa berlengah terus memohon untuk menyertai program di bawah Kementerian Ekonomi itu yang diyakini mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarganya.

Menurut Juli, inisiatif itu dilihat dapat membantu komuniti Orang Asli di kampungnya supaya tidak hanya bergantung kepada pertanian sara diri semata-mata dan berharap dapat melaksanakan projek pertanian yang mampu memberi impak kepada ekonomi penduduk.

Juli berkata kebanyakan masyarakat Orang Asli memiliki tanah sendiri dan agak merugikan sekiranya tanah itu terbiar dan tidak diusahakan secara komersial kerana kebanyakan mereka mempunyai kemahiran serta ilmu dalam bidang pertanian.

“Menerusi program IPR yang sedang dimohon, saya bercadang untuk menjalankan pertanian dengan menanam cili padi berikutan permintaan yang tinggi di pasaran.

“Sekiranya diterima, saya ingin bersama penduduk kampung melaksanakan projek penanaman berskala besar dan dibantu oleh Jabatan Pertanian untuk dapatkan input yang lebih berguna dalam menghasilkan tanaman yang berkualiti dan dijual untuk pasaran yang lebih besar,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata kerajaan akan melaksanakan IPR dengan sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan pada tahun ini kepada Kementerian Ekonomi untuk menjayakan inisiatif itu.

image
Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor Dato’ Johary Anuar. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor Datuk Johary Anuar berkata sebanyak RM8,191,300 peruntukan kepada negeri itu disalurkan oleh kerajaan Persekutuan dan diselaras pihaknya dengan kerjasama antaranya pejabat daerah dan tanah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Selangor serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi pelaksanaan program IPR.

Johary yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Selangor berkata setakat 15 Jun lepas, seramai 850 ketua isi rumah (KIR) telah terlibat sebagai peserta program IPR yang akan dibantu sepenuhnya untuk memastikan pengurangan kadar kemiskinan di Selangor.

Berdasarkan statistik pendaftaran Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) Selangor setakat 20 Jun lepas, seramai 6,209 KIR berdaftar di bawah kategori miskin tegar dengan Sabak Bernam menjadi daerah tertinggi yang didaftarkan sebagai KIR miskin tegar seramai 1,510 manakala daerah Sepang adalah terendah dengan bilangan 49 KIR.

— BERNAMA

image

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (tiga, kanan) menyerahkan peralatan untuk kegunaan penduduk kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Baja Jalil Anak Long (tengah) di Kampung Orang Asli Bukit Raja, Dengkil pada 8 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.

Diterbitkan pada 2 Ogos, 2023 Diterbitkan Oleh Administrator