|
4:15 pm
Oleh AMIRUL FAZLI
SEPANG, 20 OGOS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menambah kuantiti dan jenis barangan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) sempena Pesta Pantai Bagan Lalang.
Pekerja am PKPS Muhammad Syahmi Asymawi berkata mereka menambah barangan seperti gula, tepung gandum, roti dan banyak lagi bagi memenuhi permintaan tinggi orang ramai.
“Kita juga menambah beberapa jenis ikan seperti kerapu, cencaru, mabung dan sardin. Kesemua ikan ini masih lagi harga sama iaitu RM 6,” katanya.
Tambah Syahmi, program JER ini berlangsung dua hari iaitu 19 dan 20 Ogos untuk memberi peluang kepada orang ramai terutama para pengunjung yang hadir ke Pesta Pantai Bagan Lalang.
“Biarpun ada acara lain, namun JER tetap mendapat sambutan baik dari pembeli kerana kedua-dua program ini ada tarikan tersendiri. Kita juga telah menerima lebih 400 pembeli sepanjang dua hari ini,” tambahnya.
JER diperkenalkan tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
PKPS turut menjual minyak masak peket sekilogram serendah RM2 sebungkus di beberapa kawasan terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.
Setakat ini, JER sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.
PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.