DENGKIL, 9 JULAI: Hanya dengan bayaran serendah RM10, orang ramai berpeluang makan dan minum sambil terapung di udara pada ketinggian 35 meter di Gamuda Cove, Paya Indah Discovery Wetlands di sini, pada Julai ini.
Penolong Pengurus Jabatan Strategik Korporat Tourism Selangor, Zaimi Shari berkata ia tarikan terbaharu dipanggil Aero Bar di kawasan itu dengan pengunjung boleh bersantai menjamu selera di meja seperti biasa sambil dibawa naik ke atas menggunakan pelantar khas dikenali ‘flight table’.
“Dari situ anda akan terapung di udara dan menikmati pemandangan alam semulajadi di Gamuda Cove, waktu terbaik untuk melihat pemandangan ialah ketika matahari terbenam,” katanya kepada SelangorKini.

Zaimi berkata sepanjang Julai ini, pengunjung diberi tawaran khas harga tiket semurah RM10 berbanding harga asal, RM65.
“Oleh itu, sempena Kempen Pusing Selangor Dulu, Tourism Selangor menggesa supaya pelancong tempatan membawa keluarga untuk merasai keseronokan yang tidak ada di tempat lain ini, bukan sahaja unik tetapi harga ditawarkan juga rendah,” katanya.
Pengunjung menikmati pemandangan persekitaran Gamuda Cove ketika menaiki Aerobar yang mencecah ketinggian 35 meter pada 8 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
Kemaskini pada 2020-07-20 16:54:55 daripada Administrator