BERITA SELANGOR | ![]() |
OLEH NAZLI IBRAHIM SEPANG, 11 MAC: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya di sini secara rasmi melabuhkan tirainya malam tadi. Perasmian penutup majlis yang dilangsungkan sejak Isnin lalu itu disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Selain merasmikan penutupan majlis, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyampaikan hadiah-hadiah kemenangan kepada para peserta. Mengiringi pasangan diraja itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin. Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa & Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya. Terdahulu, seramai 20 peserta tilawah dan 43 peserta hafazan Al-Quran yang mewakili daerah-daerah di Selangor telah memperdengarkan bacaan masing-masing. Barisan hakim dalam ulasannya menyifatkan keseluruhan peserta qari dan qariah tilawah kali ini berada pada tahap yang baik dalam bidang-bidang penghakiman iaitu tajwid, fasohah, tarannum dan suara. Peserta kategori tilawah, Nor Ruzana Natiah Jaafar dinobatkan sebagai peserta tilawah terbaik selepas berjaya mengutip 95 markah. Manakala peserta hafazan bagi kategori lelaki 1 hingga 30 juzuk, Muhammad Zul Akmal Abd Laatif pula mengutip 97.83 peratus sekaligus dinobatkan sebagai peserta hafazan terbaik. Kedua-dua pemenang itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan, pakej umrah dan sepersalinan pakaian. =EZY=
|
*Sumber Gambar dari Majlis Perbandaran Sepang | |
Kemaskini pada 2020-10-13 09:43:46 daripada Administrator