BUKIT BERUNTUNG - Pengasas Pusat Rawatan Islam al-Qalam, Datuk Seri Baharudin Abu menjadi individu kesembilan yang tampil membantu merungkai kejadian api misteri di Rumah Teduhan Kasih dekat sini, semalam.

Beliau merupakan pengamal perubatan Islam yang terkenal menyembuhkan pelbagai penyakit dan pernah menyelesaikan kes api misteri membabitkan kediaman sebuah keluarga di Kelantan pada tahun lalu.

Baharudin berkata, kehadirannya ke Rumah Teduhan Kasih Bukit Beruntung sebagai usaha ikhtiar memandangkan kejadian tersebut berlarutan sejak sembilan hari lalu.

 

 

 
 

Menurutnya, beliau mengakui kejadian pelbagai barang terbakar secara tiba-tiba itu mempunyai kaitan dengan alam ghaib atau perbuatan syirik.

“Semua yang berlaku adalah atas izin Allah SWT sebagai ujian atau peringatan kepada kita semua terutama mereka yang terlibat secara langsung,” katanya.

Pengurus rumah berkenaan, Hilman Razali berkata, kejadian barang terbakar berlaku lebih 40 kali dan menyebabkan sebahagian penghuni dipindahkan sementara di Sungai Buloh atas faktor keselamatan.

Menurutnya, kesemua bilik di dua blok kediaman turut dikosongkan dan dipindahkan bagi mengelak kejadian tidak diingini itu berlaku serta merebak.

“Kami mengalu-alukan kehadiran individu yang mahir dalam perubatan alternatif bagi merungkai misteri kejadian ini dan kami dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.