KUALA KUBU BHARU - Perkhidmatan Bas Smart Selangor yang disediakan kerajaan negeri secara percuma sememangnya mendapat sambutan luar biasa.

Bagaimanapun, keterujaan penduduk menggunakan perkhidmatan itu di kawasan sekitar Kuala Kubu Bharu bertukar kecewa apabila mereka mendakwa terpaksa menunggu lama.

Berikutan itu, pengguna meminta kerajaan menyediakan lebih banyak bas percuma di situ bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Pengguna, Nora Haris, 45, berkata, kekerapan bas melalui kawasan yang menjadi tumpuan ramai perlu ditambah bagi mengelakkan kesulitan kepada pengguna.

"Saya jarang naik bas, tapi sesekali naik memang kena tunggu lama. Jadi, perkhidmatan ni perlu ditambah baik.

"Kali ni, saya naik bas dari Bukit Sentosa ke Kuala Kubu Bharu, walaupun pekan ni kecil tapi ramai yang datang untuk berurusan dengan agensi kerajaan... nak buat pasport dan macam-macam lagi.

"Banyak perkara boleh buat di sini berbanding Rawang yang dah tentu sesak. Jadi, kita minta sangat kekerapan perkhidmatan bas di sini ditambah," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kebanyakan pengguna dari stesen bas Kuala Kubu Baru mahu ke pekan Rawang tetapi perkhidmatan itu tidak disediakan Bas Smart Selangor.

“Tapi kita kena faham, perkhidmatan bas ni mungkinuntuk warga Hulu Selangor jadi ia memang tak sampai ke daerah lain. Jadi, untuk ke situ, pengguna kena naik bas berbayar.

“Kesian warga emas sebab kadang-kadang tunggu berjam-jam untuk guna pengangkutan bas ni,” katanya.

Bagi Amiruddin Daud, 58, pengguna terpaksa bersesak menggunakan perkhidmatan bas percuma itu ketika hujung minggu.

“Mungkin sebab bas ni percuma jadi ramai orang rebut peluang, tapi keadaan tu buat kita rasa tak selesa.

"Bas ni memang ikut jadual perjalanan tapi perkhidmatan disediakan ni tak cukup, kena tambah sebab penggunanya ramai," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan bas percuma itu juga wajar dikembangkan sehingga ke kawasan Rawang memandangkan jadual pengangkutan awam sedia ada tidak menentu.

"Kalau nak ke Rawang, memang kami kena tunggu lama, ada jadual perjalanan bas tu, tapi tak ikut waktu.

"Jadi kalau bas percuma ni ada sediakan perjalanan nak ke Rawang, mudah sikit untuk kami nak ke sana," katanya.

Sementara itu, Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, isu bas percuma di Hulu Selangor sering menjadi topik panas di sidang dewan.

“Isu ini yang sering kita laungkan di dewan. Apa yang saya lihat, laluan disediakan bas percuma itu tidak menjangkau banyak tempat dan ia tidak dirancang secara mendalam.

“Walaupun percuma, laluan perjalanan bas perlu efektif supaya bermanfaat kepada semua pengguna,” katanya