SHAH ALAM - Sesuatu yang unik apabila pokok kurma boleh berbuah tiga kali dalam tempoh setahun. Bunyinya agak pelik dan mungkin terdapat orang ramai yang kurang percaya.

Namun, benih berkenaan memang wujud dan boleh diperoleh di Pesta Orkid dan Flora anjuran BMC Venture bertempat di JRD Batang Kali, Hulu Selangor yang bermula Jumaat lalu hingga 1 Januari 2017.

Pengarah Urusan BMC Venture, Syed Mohd Asri Syed Mokhtar berkata, kurma berkenaan adalah jenis benih hybrid yang menggabungkan dari timur tengah dan negara jiran, Thailand.

"Selalunya pokok bila nak berbunga dan berbuah mesti kena ada campuran jantan dan betina. Tapi,  benih kurma ini tak payah macam tu.

"Kita dah kacuk siap-siap dan boleh dilihat di sepanjang pesta berlangsung," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, contoh benih kurma itu dibawa dari seorang peserta yang berasal dari Johor.

Ditanya berapakah harga untuk mendapatkan benih kurma tersebut, Syed Mohd Asri berkata tidaklah terlalu mahal dan boleh dibeli pada harga berpatutan.

Sementara itu, beliau berkata, penduduk  di Batang Kali dan berhampiran, khususnya mereka yang mempunyai hobi menanam orkid, bunga, herba dan buah-buahan berpeluang mendapatkan pelbagai spesies tanaman yang dijual di sini.

Ini kerana terdapat lebih 2,000 spesies orkid dan herba yang mendapat sambutan hangat seperti daun rerama hijau, gambir Sarawak dan pelbagai pokok buah-buahan dijual oleh pemborong terkenal dari seluruh negara yang berkampung selama 10 hari di sini