BUKIT BERUNTUNG - Kelengkapan persiapan majlis perkahwinan sebuah keluarga musnah dalam kebakaran melibatkan satu unit apartmen di Apartmen Kenangan, di sini, malam tadi.
Kejadian yang berlaku jam 7,30 malam itu dipercayai bermula dari kuali berisi minyak yang dipanaskan untuk memasak sambal nasi lemak.
Mangsa yang juga peniaga nasi lemak, Siti Salmi Mohd Razali, 43, berkata, dia terleka apabila meninggalkan kuali di dapur untuk membuat kerja lain di rumah tamu sebelum terhidu bau hangit.
"Ada berlaku beberapa letupan sehingga bekalan elektrik terputus dan bila keadaan gelap, kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa selain segera keluar dari rumah.
"Semua barang hangus terbakar termasuk barang persiapan persandingan anak sulung yang akan berlangsung pada Mac nanti,"katanya yang tinggal lima beranak di situ.
Salmi berkata, dia sekeluarga dipindahkan sementara di Dewan Kawasan Rukun Tetangga Apartment Kenanga dan diberikan kit bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Turut hadir melawat mangsa di lokasi kejadian, Adun Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.54 malam dan operasi pemadaman dilakukan 25 anggota termasuk bantuan dari Rawang dan Batu Arang.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah apartmen di tingkat satu berkeluasan 20x40 kaki persegi dan hangus sepenuhnya.
"Pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki, satu diving breeching, dua pancutan air tangki pam jentera bomba," katanya.
Kemaskini pada 2018-02-12 07:48:38 daripada Administrator