BATANG KALI - Sebuah kolam memancing di Jalan Batang Kali-Genting Highlands menanggung kerugian selepas 4000 ekor ikan air masinnya mati dipercayai akibat diracun,pagi semalam.
Pemilik kolam yang dikenali sebagai Tan, 40 berkata, kejadian terbabit disedari seorang pekerja kira-kira jam 7.30 pagi ketika mahu memulakan operasi.
Menurutnya, dia segera ke kolam berkenaan selepas pekerjanya memaklumkan ikan di dalam sangkar banyak terapung.
“Terdapat sebuah beg plastik berwarna oren terapung di tengah kolam dan bila saya tarik naik ke atas, rupa-rupanya itu adalah racun.
“Selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), saya dapati ikan di dalam sangkar melompat-lompat bermula jam 6 pagi,”katanya.
Tan berkata, kolam yang beroperasi sejak dua tahun lalu itu ditutup pada jam 3 pagi dan terdapat beberapa sangkar bagi menempatkan bekalan ikan sebelum dilepaskan ke kolam utama untuk memancing.
Menurutnya, CCTV hanya terdapat di kawasan sangkar berkenaan dan tidak menolak kemungkinan beg plastik berisi racun itu dibuang dari sudut gelap di hujung kolam.
“Ini kolam air masin jadi air tidak mengalir masuk atau keluar kerana menggunakan sistem kitaran dalaman sahaja.
“Kerugiaan dianggarkan lebih RM100,000 dan kolam ditutup untuk kerja pembersihan yang dijangka mengambil masa selama 20 hari,”katanya.
Kemaskini pada 2018-03-01 08:51:19 daripada Administrator