GEDANGSA - Struktur premis gerai makanan di medan selera Dataran Kami Anak Felda (KAF) dekat sini roboh akibat angin kuat dalam kejadian semalam.
Seorang peniaga, Norhabibah Hambali, 52, berkata, dia yang baharu satu jam membuka gerai menjual air kira-kira jam 3.30 petang itu tergamam apabila melihat satu pusingan angin puting beliung di sungai berdekatan lokasi kejadian.
Menurutnya, puting beliung bersaiz kecil itu bergerak laju ke arah deretan premis gerai makanan tersebut sebelum 'mengangkat' struktur bumbung ke atas.
"Masa kejadian tiada hujan pun dan hanya ada saya serta seorang lagi peniaga yang buka gerai menggunakan kanopi di depan deretan premis ini.
"Peniaga lain belum mula niaga dan tiba-tiba saya dengar bunyi angin kuat dan lihat pusingan angin seperti puting peliung datang laju dari arah sungai.
"Kejadian berlaku pantas dan dari bawah, angin itu angkat bahagian bumbung sebelum satu deret gerai roboh,"katanya.
Ketua peniaga, Rashid Kassim berkata, terdapat lima gerai makanan di premis berkenaan dikendalikan biro ekonomi KAF yang beroperasi sejak lebih setahun lalu.
Menurutnya, kebiasaan peniaga gerai tersebut memulakan perniagaan pada jam 5 petang.
"Saya juga salah seorang peniaga dan ketika kejadian, saya masih di rumah menyiapkan barang niaga.
"Ini kejadian pertama kali berlaku dan saya jangka ambil masa paling cepat dua minggu untuk memperbaiki kerosakan sebelum boleh semula berniaga," katanya.
Kemaskini pada 2018-09-27 13:38:27 daripada Administrator