HULU BERNAM - Laluan ke Empangan Sungai Tengi dekat sini tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan apabila berlaku runtuhan tanah membabitkan jalan raya itu, semalam.
Sebuah pacuan empat roda nyaris terhumban ke dalam runtuhan itu yang berkedalaman lebih enam meter dan seluas kira-kira 16 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.14 petang.
Menurutnya, seramai 12 anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian dan mendapati pacuan empat roda jenis Hilux itu terjatuh pada runtuhan tanah jalan raya.
"Mangsa telah keluar dengan sendiri tanpa mengalami sebarang kecederaan dan kes diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.
"Anggota bertugas membuat pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan tiada mangsa lain yang terlibat," katanya.
Pihak Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor memasang halangan di kawasan kejadian agar tiada kenderaan menggunakan jalan berkenaan.
Kemaskini pada 2018-10-12 10:01:27 daripada Administrator