HULU SELANGOR - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengeluarkan lima kompaun terhadap dua kilang kitar semula dan diarah menghentikan operasi serta-merta.

Tiga kompaun bersabit kesalahan membuat perubahan kepada bangunan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 70 (11) Akta Parit dan Bangunan manakala dua lagi kompaun tidak mematuhi syarat lesen.

Pegawai Komunikasi Korporat MDHS, Junainah Abdullah berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan ketika operasi kilang kitar semula di kawasan industri Zurah Rasa dan Sungai Choh, semalam.

Menurutnya, operasi diketuai Pengarah Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MDHS, Kamarulzaman Abdul Rahman.

"Terdahulu kilang-kilang memproses sampah plastik banyak beroperasi di Klang dan Kuala Langat tetapi kini MDHS mengesan operasi yang sama turut dijalankan di daerah ini.

"Pihak majlis memandang serius perkara tersebut memandangkan daerah ini merupakan pengeluar air mentah bagi kawasan Lembah Klang.

"Selaku pihak berkuasa tempatan, kami komited untuk mengawal segala aspek yang berkaitan dengan alam sekitar,"katanya

Junainah berkata, pemantauan berterusan dilakukan bersama jabatan dan agensi kerajaan lain bagi memastikan tiada sebarang isu pencemaran dan penyalahgunaan lesen berlaku.