HULU BERNAM - Kumpulan nelayan yang mencari rezeki di Sungai Bernam mendesak kolaborasi antara Kerajaan Selangor dan Perak bagi melindungi sungai tersebut dari pencemaran.

Ketua Sukarelawan Perikanan Daerah (Super) Hulu Selangor, Roslan Ahmad berkata, walaupun tahap pencemaran di Sungai Bernam masih terkawal namun tindak pencegahan dan pemantauan perlu dilaksanakan.

 

Menurutnya, beberapa kejadian ikan mati akibat pembuangan sisa tercemar yang berlaku menunjukkan bahawa terdapat aktiviti berdekatan sungai itu berisiko menyebabkan pencemaran.

"Tindakan bersama di antara dua negeri ini perlu diwujudkan agar Sungai Bernam terpelihara dan bebas pencemaran,"katanya.

Aktivis alam sekitar yang juga Pengarah Keselamatan Pekerjaan, Kesihatan dan Persekitaran Universiti Teknologi Mara (UTM), Prof Dr Maketab Mohamed berkata, kolaborasi itu merupakan satu tindakan bijak.

Menurutnya, 70 peratus keluasan Sungai Bernam terletak di Perak namun penggunaan 90 peratus adalah di Selangor untuk bekalan air terawat.

"Satu jawatankuasa membabitkan kedua negeri ini penting bagi menjamin kelestarian Sungai Bernam.

"Selangor dan Perak kini dibawah kerajaan negeri Pakatan Harapan maka saya percaya tiada halangan untuk bekerjasama," katanya.

Sehubungan itu, satu pertemuan meja bulat bagi mencari solusi kepada permasalahan dan potensi Sungai Bernam diadakan bersama Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Penerangan Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Abdul Aziz berkata, Kerajaan Perak memandang serius permasalahan di Sungai Bernam.

Menurutnya, beliau sendiri menaiki bot bersama kumpulan nelayan menyusuri sungai berkenaan bagi melihat aktiviti yang mengancam ekosistem kawasan tersebut.

"Dalam belanjawan negeri juga disediakan peruntukkan untuk pemuliharaan sungai dan saya tiada halangan untuk mewujudkan kolaborasi bersama Selangor dalam perkara ini," katanya