Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
jata2

PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

 

Faq
Soalan
Lazim
HubungiKami
Hubungi
Kami
Aduan
Aduan dan
Maklum Balas
Peta
Peta
Laman

LZA bantu keluarga Nazurah sejak 2014

ENGKU SHARIFUL AZNI | | 22 Julai 2021
image
Saipolyazan (kiri) menyerahkan replika cek bantuan LZS kepada Nazurah (dua dari kiri) pada Khamis.

 

RAWANG - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan pihaknya telah membantu keluarga Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, serta tujuh adik beradik yang kehilangan kedua ibu bapanya akibat Covid-19 baru-baru ini sejak tahun 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusof berkata, keluarga tersebut merupakan asnaf berdaftar di bawah LZS yang dibantu dengan pelbagai sumbangan seperti bantuan kewangan, makanan, pendidikan, bantuan hari raya dan lain-lain.

Menurutnya, setelah mendapat tahu tentang berita tersebut, pihaknya telah bergegas ke kediaman mereka untuk menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak RM500, selain menguruskan khairat kematian kedua-dua ibu bapanya dan menyerahkan RM3,000 wang khairat kematian kepada ahli keluarganya.


"Pada masa sama juga, kami akan menguruskan bayaran sewa rumah mereka di sini sebanyak RM650 sebulan. Setakat ini kita masih mengekalkan bantuan yang diterima dan pegawai kita akan membuat pemeriksaan susulan kerana ahli keluarga ini terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berumur empat hingga 19 tahun.

"Ini merupakan kes pertama yang mana tempoh pemergian ibu bapanya sangat rapat akibat Covid-19. Sebelum ini, ada kes hanya salah seorang ahli keluarga sahaja yang meninggal dunia, tapi bukan kes sebegini," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Saipolyazan turut mengingatkan dan menggalakkan keluarga asnaf di bawah seliaan LZS untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin.

Katanya, pihak LZS menjalankan kempen melalui amil kariah dan menghubungi keluarga asnaf untuk menasihati mereka supaya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Kita juga bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan menyediakan tiga kenderaan 'Vaccine On The Go' ke 265 pusat jagaan untuk membantu mereka mendaftar vaksin bagi mempercepatkan negara mencapai imuniti kelompok," katanya.
 


Kemaskini pada 2021-07-23 10:12:46 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page