HULU BERNAM - Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam setelah tersepit di tempat duduk sebelum dapat diselamatkan pihak berkuasa.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Miskandar Mohamad berkata, anggota bomba mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk menyelamatkan mangsa kerana kaki kanan mangsa tersepit pada lori yang remuk.

“Seorang mangsa tersepit sebelah kaki kanan dan seorang lagi yang duduk di sebelah belakang selamat.

“Operasi menyelamat dilakukan selama 10 minit dan kita dah keluarkan mangsa daripada tempat duduk pemandu.

“Mangsa dapat dikeluarkan dan serah kepada ambulan sebelum tugas seterusnya kita serahkan kepada polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kira-kira jam 11.40 malam berhubung kemalangan melibatkan dua lori di Kilometer 401.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah Kuala Lumpur selepas susur masuk Plaza Tol Tanjung Malim.

Katanya, laporan awal yang diterima mendapati lori dinaiki mangsa melanggar belakang sebuah lori lain menyebabkan kepala salah sebuah lori remuk.

Mangsa yang tersepit dikatakan bernasib baik kerana kaki kanannya hanya terselit di celah ruang pintu lori yang remuk dan berjaya dikeluarkan selepas anggota bomba mengumpil pintu tersebut.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan, Mohd Taib Songoh berkata, pemandu lori terbabit merupakan seorang lelaki India Muslim dan bersama kelindannya membawa muatan kabinet dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

“(Siasatan awal mendapati) lori dinaiki mangsa telah melanggar belakang sebuah lori menyebabkan kepala lori remuk dan pemandunya tersepit.

“Pemandunya berjaya dikeluarkan jam 12.30 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (kelindannya diselamatkan lebih awal),” katanya.

Menurut beliau, pemandu lori terbabit hanya mengalami luka di kening mata kanan, belakang pinggang dan sakit kaki kanan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kelindannya mengalami patah jari kaki kanan dan luka di tangan kanan.

Insiden tersebut hanya selesai sepenuhnya jam 2.23 pagi disebabkan kedudukan lori menghalang laluan tengah dan kanan.