Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
jata2

PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

 

Faq
Soalan
Lazim
HubungiKami
Hubungi
Kami
Aduan
Aduan dan
Maklum Balas
Peta
Peta
Laman

Mangsa Tidak Sempat Sertai Seminar

  • Keadaan kereta Perodua Viva yang dinaiki lima pelajar politeknik remuk teruk.Keadaan kereta Perodua Viva yang dinaiki lima pelajar politeknik remuk teruk.
< 1 / 1 >

HULU BERNAM - Seorang remaja maut selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki bersama lima rakan yang lain terbabit dalam nahas jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 403.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim kira-kia jam 12.30 pagi semalam.

Difahamkan, kelima-lima mereka adalah merupakan pelajar di sebuah politeknik di Dungun, Terengganu dan dalam perjalanan untuk menghadiri seminar di Tanjung Malim.

Menurut seorang mangsa, Norshamimi Salleh, 20, dia yang memandu bersendirian gagal mengelak sebuah kenderaan yang laju di lorong kanan dan tersasar ke lorong tengah di depannya menyebabkan dia panik dan melanggar belakang lori tangki di lorong kiri.

“Saya di lorong tengah, laluan berselekoh dan menurun, masa tu ada kereta laju memotong sebelah kanan tapi macam makan jalan sikit jadi akibat panik terlanggar lori tangki menyebabkan kereta berpusing dan terhenti di tengah jalan," katanya.  

Menurutnya, keadaan gelap menyebabkan kenderaan lain tidak dapat mengelak keretanya di tengah jalan dan sekali lagi dirempuh sebuah kenderaan lain selepas dia keluar menyelamatkan diri.

"Beberapa minit lepas itu sebuah kereta Perodua Viva dinaiki lima pelajar terbabit turut terbabas ketika cuba mengelak kereta saya.

"Kereta itu langgar besi pembahagi jalan di tengah sebelum berpusing-pusing dan langgar besi pengadang tepi jalan beberapa kali sebelum melanggar lori tangki. Saya perhatikan dari jauh sebab orang yang selamatkan saya suruh tunggu di sini,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, ketika itu dia dalam perjalanan pulang selepas makan malam daripada Bukit Beruntung ke Kampung Keliang.

Manakala, pemandu lori tangki terbabit, R Muniandi, 62, berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari Klang ke Pulau Pinang.

“Saya di lorong kiri tiba-tiba dengar bunyi hentaman kuat. Saya tengok ada seorang perempuan dalam Toyota Avanza  itu jadi saya berhenti di bahu jalan nak pergi tolong mereka.

“Selepas 15 minit, kereta Perodua Viva dinaiki lima pelajar terbabit melanggar belakang lori saya," katanya.

Menurutnya, kejadian seumpama itu sudah dua kali dilaluinya di mana kali pertama lori tangki dipandunya dilanggar sebuah treler di Johor beberapa tahun lalu namun kejadiannya tidak serius.

Seorang lagi saksi, pemandu lori, K Tamilsellavan, 46, berkata, melihat kemalangan itu dia berhenti dan membantu menyelamatkan lima mangsa yang berada dalam kenderaan Perodua Viva yang remuk teruk.

“Keadaan mangsa kritikal masa tu dan hidup lagi, dua parah dan yang dua lagi cedera ringan tapi semua dah dibawa ke Hospital Slim River.

“Kereta remuk, seorang tersepit di tempat duduk belakang sebelah kiri jadi saya terpaksa guna kayu untuk umpil baru dapat keluarkan mereka,” katanya.

Menurutnya, ketika itu salah seorang mangsa masih mampu menggerakkan tangan dan kepala namun lebih kurang 10 minit selepas itu mangsa sudah tidak bernyawa lagi.
"Dua lagi penumpang belakang dipercayai cedera di kepala dan patah tangan, pemandunya cedera di tangan manakala penumpang depan cedera ringan.

“Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh bomba Kuala Kubu Bharu tapi masa itu sudah tidak bernyawa,” katanya.

Ketika kejadian, antara orang awam yang datang menyelamatkan mangsa terbabit merupakan rakan sekolah salah seorang mangsa yang menaiki Perodua Viva.

B Dinesh, 21, berkata, dia mengenali seorang mangsa yang tinggal di Taman Wangsa Jaya, Tanjung Malim tetapi dia enggan mendedahkan namanya.

“Kesemua mereka pelajar sebuah politeknik di Dungun, Terengganu. Salah seorang daripadanya rakan sekelas semasa belajar di sekolah dahulu dan tinggal di Tanjung Malim,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Shukri Yaacob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut mengenai punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

"Mangsa yang maut dikenali sebagai Rs Vinathanam dan berusia 21 tahun," katanya.


Kemaskini pada 2014-08-18 08:01:08 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page