Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
jata2

PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

 

Faq
Soalan
Lazim
HubungiKami
Hubungi
Kami
Aduan
Aduan dan
Maklum Balas
Peta
Peta
Laman

PRK DUN Kuala Kubu Bharu 11 Mei, penamaan calon 27 April

image
Orang ramai hadir bagi melakukan semakan di kaunter di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Putrajaya pada 19 Oktober 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Foto BERNAMA

 

PUTRAJAYA, 4 APRIL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 11 Mei ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini hari ini, bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Kuala Kubu Bharu.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

PRK ini kali ketujuh diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Abdul Ghani berkata secara keseluruhan PRK Kuala Kubu Bharu memerlukan peruntukan RM2.5 juta.

Menurutnya seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu tiga penolong pegawai pengurus dan 760 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Kuala Kubu Bharu.

Beliau berkata dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya juga ditubuhkan yang dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan calon bertanding bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Menurut Abdul Ghani tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April ini hingga 11.59 malam, 10 Mei.

Menurutnya Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

DPPR bagi PRK tersebut akan mula dijual pada 22 April ini.

Beliau berkata Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan bagi PRK Kuala Kubu Baharu ialah Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

“Sebanyak 18 pusat mengundi biasa yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.

Pengundi boleh membuat semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/7218/7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak bermula 22 April ini.

SPR menyeru bakal calon yang bertanding dalam PRK Kuala Kubu Baharu supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum hari penamaan calon bagi memudahkan proses penamaan calon.

Abdul Ghani berkata bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus mesti dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC.

SPR dalam pada itu turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat menjadi pemerhati pilihan raya dalam melihat perjalanan proses PRK tersebut bermula dari hari penamaan calon hingga keputusan pilihan raya diumumkan.

Maklumat lanjut dan borang permohonan untuk pemerhati boleh diperoleh daripada portal rasmi SPR di www.spr.gov.my bermula hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 17 April ini.

-BERNAMA


Kemaskini pada 2024-04-05 08:12:59 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page