
BATANG KALI - Keluarga angkat kepada Ibrahim Abdullah, 6, meminta supaya ibu kandung kanak-kanak berkenaan tampil bagi memudahkan urusan dokumen berkaitan pengambilan anak angkat secara sah.
Bapa angkatnya, Nasarudin Abdul, 53, berkata, Ibrahim tidak dapat didaftarkan ke sekolah kerana dokumen kelahirannya tidak lengkap.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu ibu kandung Ibrahim iaitu Salina Abdullah pada November 2008 ketika kanak-kanak itu berusia dua bulan tanpa dokumen pendaftaran kelahiran.
“Dia ada janji nak jumpa anaknya untuk selesaikan dokumen. Tapi sampai sekarang dia tak datang padahal dia ada nombor telefon saya. Kami ada cuba jejak dia di Subang Jaya hasil maklumat yang kami dapat tapi susah nak cari sebab alamatnya tak lengkap,” katanya kepada Sinar Harian.
Nasarudin berharap Salina dapat tampil dan membantunya menyediakan dokumen berkaitan demi masa depan Ibrahim.
“Saya harap dia dapat hubungi saya di talian 019 3702843supaya semua urusan dokumen diselesaikan segera. Bolehlah Ibrahim dapat masuk sekolah tahun depan,” katanya.
Kemaskini pada 2016-02-22 08:26:22 daripada Administrator