
Mayat mangsa ditemukan di kawasan semak dekat Jalan Besar Felda Soeharto pada Sabtu.
HULU SELANGOR - Misteri kehilangan seorang lelaki sejak 8 Jun lalu terungkai setelah mayatnya ditemui di kawasan semak dekat Jalan Besar Felda Soeharto di sini pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, laporan sebelum itu dibuat anak mangsa berkaitan kehilangan bapanya pada 9 Jun lalu.
"Anak mangsa sebelum itu mendakwa bapanya tidak pulang setelah keluar rumah untuk membeli rokok dari Taman Sentosa, Klang.
"Laporan berkaitan kejadian itu dibuat di Balai Polis Klang melibatkan mangsa berumur 57 tahun itu," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Mangsa dipercayai maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan tercampak di kawasan semak itu.
Katanya, polis kemudiannya menerima laporan terdapat satu mayat ditemukan bersebelahan dengan sebuah motosikal di kawasan semak di lokasi kejadian.
"Siasatan mendapati mayat terbabit merupakan mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang.
Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Kemaskini pada 2024-06-18 08:05:10 daripada Administrator