Sumber : Norasyidah binti Arshad || Selangor Kini
HULU SELANGOR, 13 JULAI: Hasrat menjadikan Serendah sebagai hab pembuatan pengangkutan bakal membangunkan kawasan itu sekali gus memberi manfaat kepada penduduk.
Penyelaras Batang Kali berkata beliau yakin pentadbiran akan menambah pelbagai kemudahan infrastruktur demi memastikan keselesaaan dan keperluan masyarakat dipenuhi.
“Itu cadangan yang baik (hab pembuatan pengangkutan). Sekarang pun memang ada kilang kereta dan alat ganti kenderaan.
“Kita yakin hasrat ini akan lengkapkan lagi infrastruktur di sini. Bila membangunnya kawasan ini, kita harap tiada isu kesesakan atau perkara lain berlaku,” kata Saifuddin Shafi Muhammad kepada SelangorKini.
Pada Rabu EXCO pelaburan berkata Serendah bakal menjadi hab pembuatan pengangkutan susulan potensi dan pembangunan di kawasan itu selain tarikan susulan pembukaan Bandar Industri Bernilai Tinggi Serendah oleh syarikat UMW Development Sdn Bhd.
Jelas Ng Sze Han, pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga membuka peluang baharu kepada kawasan Serendah dan sekitarnya untuk dimajukan menjadi hab logistik negara.
Sebelum ini beliau turut memaklumkan sejak 2020 hingga kini, kawasan itu terkenal dengan industri automatik dan elektronik termasuk kendalian syarikat besar antaranya UMW dan Perodua, mencatatkan nilai pelaburan sehingga RM2.7 bilion.
Jelasnya pusat industri berkenaan juga berjaya mewujudkan 6,000 peluang kerjaya berimpak tinggi dalam tempoh sama selain membawa masuk 53 pelaburan ke daerah itu.
Kemaskini pada 2024-07-15 14:24:27 daripada Administrator