Sumber : BHOnline
Polis merampas 98 paket plastik lutsinar dadah jenis syabu dan menyita kereta jenis Toyota Vios, cincin serta wang tunai RM120 dari seorang lelaki dan perempuan di sebuah rumah di Bukit Beruntung, malam kelmarin. NSTP/IHSAN POLIS
HULU SELANGOR: Enam bulan menjalankan pengedaran dadah di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, akhirnya dua orang berjaya dihidu pihak berkuasa dan ditahan, kelmarin
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, kedua-dua suspek berusia 29 dan 51 tahun ditahan di sebuah rumah di Bukit Beruntung, di sini.
Beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor menyerbu rumah terbabit pada jam 11.15 malam."Hasil pemeriksaan menemui 98 paket plastik lutsinar kecil dadah jenis syabu yang disorokkan dalam bungkusan tuala wanita.
"Anggaran berat semua dadah terbabit adalah 60.35 gram," katanya ketika dihubungi, malam ini.Mohd Asri berkata, soal siasat mendapati kedua-dua suspek mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal bersama di rumah terbabit.Beliau berkata, semakan lanjut mendapati seorang daripada suspek mempunyai sembilan rekod lampau selain ujian air kencing positif dadah.
"Nilai rampasan dadah berjumlah RM 6,968.50 dan barang terlarang itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Hulu Selangor."Polis turut menyita kereta jenis Toyota Vios, cincin dan wang tunai RM 120," katanya.Mohd Asri berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 3 Ogos ini bagi membantu siasatan."Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama."Hasil analisa mendapati dadah itu boleh dibekalkan kepada 120 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.50 gram," katanya.
Kemaskini pada 2024-07-30 07:44:28 daripada Administrator