Kakitangan Platform Selangor (PLATS) mempromosi kaedah jualan menerusi platform digital ketika Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
SHAH ALAM, 23 SEPT: Peniaga sekitar Hulu Selangor yang berhasrat mendigitalkan perniagaan dipelawa menyertai program pembangunan Usahawan Platform Selangor (U-PLATS) pada 3 Oktober.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata program bimbingan percuma terhad kepada 30 penyertaan dijadual berlangsung di Dewan Orang Ramai Serendah mulai 9.30 pagi hingga 2.30 petang.
“Peniaga yang ingin mendigitalkan perniagaan tetapi tidak tahu bagaimana nak mula boleh berdaftar sebagai peserta U-PLATS MPHS sekarang.
“Antara input program adalah pendaftaran TikTok, Google My Business dan asas keusahawanan,” maklumnya di Facebook.
Usahawan boleh membuat pendaftaran menerusi https://forms.gle/XDQALZ7dmkmetF7v7 atau imbas kod QR di poster sebelum 30 September ini.
Program anjuran bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) menetapkan peserta mestilah berdaftar dengan PLATS.
Tahun lalu, MBI memperkenal program U-PLATS bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital dengan penglibatan 12 PBT.
Antara modul bimbingan termasuk berkaitan pengenalan kepada keusahawanan, media sosial dan e-dagang serta penciptaan kandungan digital.
Kemaskini pada 2024-09-24 08:43:08 daripada Administrator