Penyelaras Parlimen Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan (tengah, belakang) bersama penerima tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)
di Wisma Antara Gapi, Hulu Selangor pada 28 September 2024. Foto Penyelaras Parlimen Hulu Selangor
SHAH ALAM, 29 SEPT: Seramai 20 suri rumah di Parlimen Hulu Selangor menerima tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) membabitkan jumlah RM2,400 bagi tempoh setahun.
Penyelaras Parlimen Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata pihaknya menaja skim tersebut bagi memastikan golongan itu mendapat perlindungan sewajarnya jika berlaku sebarang kecemasan.
“Masyarakat biasanya hanya tahu Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sedangkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga mempunyai skim khas untuk suri rumah.
“Ini sebagai permulaan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga,” katanya pada program penyerahan tajaan semalam.
Sathia Prakash juga bercadang mahu menaja lebih ramai lagi suri rumah di bawah skim tersebut pada masa akan datang.
“Untuk permulaan ini kita taja 20 suri rumah dahulu, namun akan datang lebih ramai lagi terima manfaat. Saya menyeru ketua kampung dan ahli majlis sama-sama menyebarkan skim ini di komuniti masing-masing,” katanya.
Untuk rekod, skim dengan caruman RM120 setahun mula diperkenalkan pada 1 Disember 2022 bertujuan memberi perlindungan kepada kematian dan penyakit kronik.
Skim itu turut meliputi bencana domestik seperti kemalangan semasa menghantar anak ke sekolah, memberi barang keperluan di pasar serta aktiviti menguruskan rumah tangga di dalam rumah.
Sepanjang diperkenalkan, sebanyak 100 kes di seluruh Selangor direkodkan dan bayaran faedah yang telah diagihkan adalah sebanyak RM146,079.613.
Kemaskini pada 2024-09-30 09:03:28 daripada Administrator