EXCO Infrastruktur Izham Hashim dan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao ketika lawatan ke Tapak Projek Talian Penghantar TNB 500KV dari PMU Tapah ke PMU Bentong South melalui Hulu Selangor pada 8 Oktober 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR
HULU SELANGOR, 8 OKT: Tatacara operasi piawai (SOP) pengurusan cerun seluruh negeri dijangka siap selewatnya Disember depan membabitkan dua komponen.
EXCO infrastruktur berkata SOP yang disediakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan dilaksana di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya penjagaan cerun lebih baik.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim
“Komponen pertama menyiapkan peta risiko kerana kita tidak tahu cerun mana berisiko dan akan runtuh… jadi sebab itu perlu ada pemetaan. Komponen kedua pula kaedah pengurusan yang diterajui Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“SOP disediakan ini akan menyediakan kawasan risiko sederhana dan tinggi, namun setakat ini tiga kawasan yang didapati kerap berlaku keruntuhan iaitu Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat,” kata Ir Izham Hashim.
Beliau berkata demikian ketika melawat tapak projek talian penghantar 500KV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Tapah ke PMU Bentong South melalui Hulu Selangor hari ini.
Julai lalu, Izham memaklumkan laporan kawasan cerun berisiko yang dikenal pasti dikemukakan kepada PBT untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, laporan itu diserah kepada Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan MPAJ.
Kemaskini pada 2024-10-09 09:16:32 daripada Administrator