BUKIT BERUNTUNG - Keadaan padang Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 (SKTBR1) yang uzur mengundang kesukaran kepada murid sekolah berkenaan menjalani aktiviti sukan pada setiap sesi persekolahan.
Guru Besarnya, Mohd Hasren Damiri berkata, setiap kali hujan padang sekolah berkenaan akan menakungkan air dan menyebabkan aktiviti sukan terganggu.
Beliau berkata, setelah 13 tahun sekolah berkenaan beroperasi, kemudahan padang, longkang dan pagar sedia ada masih memerlukan beberapa penambahbaikan demi keselesaan murid-murid.
“Keadaan prasarana di sekeliling padang kebanyakkan mengalami kerosakan dan perlu ditambah baik berikutan telah uzur,” katanya selepas menyerahkan surat permohonan bagi menaiktaraf kemudahan tersebut kepada Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan yang turun padang bagi merasmikan program Sukan Mini Tahunan sekolah berkenaan.
Menurutnya, penggunaan padang berkenaan amat mustahak memandangkan kemudahan tersebut turut dikongsi bersama Sekolah Menengah Taman Bunga Raya (SMTBR) di sini.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai program berkenaan, Mohd Hasren memaklumkan bahawa ia dianjurkan bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan di peringkat awal.
“Program ini adalah satu latfom yang baik untuk murid-murid mengetengahkan bakat disamping mengharumkan nama sekolah ini menerusi acara sukan,” katanya.
Tambahnya, menerusi rekod pencapaian sebelum ini, SKTBR1 merupakan johan bagi Kejohanan Padang dan Balapan peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Hulu Selangor selama lima tahun berturut-sejak 2010
Kemaskini pada 2015-03-11 09:07:36 daripada