Sumber : Sinar Harian
HULU SELANGOR - Seorang lelaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di persimpangan lampu isyarat Batang Kali, Jalan Kuala Lumpur - Ipoh pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim, berkata kejadian berlaku sekitar jam 6.40 pagi apabila mangsa berumur 74 tahun itu melintas jalan di lokasi kejadian.
"Masa sama, penunggang motosikal terlibat yang dalam perjalanan ke tempat kerja meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau gagal mengelak sebelum melanggar mangsa.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala penunggang motosikal berkenaan tidak mengalami kecederaan serius," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Kemaskini pada 2025-02-20 08:05:40 daripada Administrator