KUALA KUBU BHARU - Kerajaan Negeri Selangor diminta supaya mengkaji dan meminda semula Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau Selangor 1971 yang dilihat tidak memenuhi keperluan semasa dalam pengawalan penternakan haiwan berkenaan.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, disebabkan aktiviti perindustrian di kawasan luar bandar kian meningkat khususnya di kawasan Hulu Selangor, perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada penternak kecil-kecilan yang telah sekian lama wujud.

Menurut beliau, ini berikutan kewujudan penternak kecil-kecilan yang didakwa telah mewujudkan kacau ganggu dan tidak mesra alam di kawasan industri dan penempatan penduduk.

“Cabaran dihadapi sekarang adakah enakmen sedia ada mempunyai peruntukan yang cukup untuk penguat kuasa mengambil tindakan bagi mengatasi masalah yang dikatakan mewujudkan kacau ganggu dan tidak mesra alam itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Kee Hiong, sebagai contoh, masalah lembu-lembu berkeliaran di kawasan perindustrian Zurah dan Perumahan Taman Keruing, Rasa menyebabkan najis haiwan berkenaan bertaburan di atas jalan raya.

Kee Hiong berkata, keadaan itu telah menimbulkan ketidakselesaan kepada pemilik kilang, penduduk setempat serta pengguna lalu lintas di sini.

“Enakmen sedia ada tidak pernah dikemas kini sejak Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau (Pindaan) 1978 diluluskan dan berkuat kuasa pada 1 Januari 1979 lalu.

“Saya mohon undang-undang ini dipinda bagi pastikan ternakan lembu ditempatkan di lokasi  bersesuaian dan menggunakan ternakan moden yang tidak sebabkan pencemaran,” katanya.

Dalam pada itu, Kee Hiong berkata kerajaan negeri juga perlu mengambil langkah bagi mengatasi masalah dihadapi oleh penternak lembu yang ingin berpindah dari kawasan asal ke kawasan penternakan khas yang akan diwujudkan.

Kata beliau, kawasan penempatan semula yang mencukupi perlu disediakan kepada pengusaha-pengusaha ternakan lembu yang telah lama beroperasi selama ini.

“Kawasan luar bandar yang didominasi bagi tujuan guna tanah untuk pertanian sebelum ini telah berubah berikutan pertambahan kawasan perindustrian dan perumahan baru yang diwujudkan.

“Ini satu usaha yang baik bagi pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar khususnya Hulu Selangor,” katanya.

Bagi tujuan itu, Kee Hiong memaklumkan pihaknya telah membawakan perkara ini ke persidangan Dun Selangor pada 1 April lalu bagi membolehkan isu berkenaan mendapat perhatian sewajarnya.