
HULU SELANGOR - Tindakan segelintir peniaga di bazar Ramadan sekitar Hulu Selangor yang sengaja membuang lebihan jualan minuman ke dalam longkang bukan sahaja membazir, malah turut mencemarkan alam sekitar.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata, semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam menguruskan lebihan makanan dan minuman agar dapat dimanfaatkan sebaiknya.
"Kami kesal dengan tindakan segelintir peniaga yang membuang lebihan air minuman ke dalam longkang.
"Kami menyeru semua pihak lebih bertanggungjawab menguruskan lebihan makanan dan minuman," katanya di Facebook pada Sabtu.
Dalam pada itu, MPHS memaklumkan, hari pertama inisiatif TakNakBazir x MySaveFood yang telah dilaksanakan pihaknya pada Khamis lalu telah menyelamatkan sebanyak 16.805 kilogram (kg) makanan dan minuman daripada dibazirkan.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, jumlah tersebut merangkumi minuman sebanyak 8.6kg manakala makanan pula berjumlah 8.205kg.
"Langkah ini bukan sahaja mengurangkan sisa makanan, malah membantu mereka yang memerlukan.
"Teruskan menyokong usaha mengurangkan pembaziran makanan kerana langkah kecil mampu memberi impak besar," ujarnya.
Sumber : Sinar Harian
Kemaskini pada 2025-03-17 07:47:03 daripada Administrator