Kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan pemeriksaan menerusi operasi bersepadu ke atas sebuah pusat penternakan ayam pedaging di Sungai Liam, Hulu Yam, Khamis lalu. - Foto FB MPHS
HULU SELANGOR: Sebuah pusat penternakan ayam pedaging di Sungai Liam, Hulu Yam, di sini, disyaki menjadi punca pencemaran bau busuk hingga mengganggu rutin harian ribuan penduduk di kawasan sekitar.Difahamkan, pemilik premis itu dikatakan tidak menguruskan sisa najis ayam dengan baik hingga menjadi punca masalah berkenaan.
Susulan aduan diterima, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bertindak melakukan operasi bersepadu pada Khamis lalu dengan meminta premis terbabit membuat pembetulan dalam tempoh 30 hari.MPHS berkata, arahan dikeluar bertujuan memastikan pemilik premis melantik syarikat kawalan serangga perosak.Selain itu, katanya, pemilik juga perlu menambah baik pengurusan tinja dan memastikan tiada kacau ganggu serta aduan awam."Terdahulu, MPHS menjalankan operasi bersepadu bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di premis terbabit selepas menerima aduan orang awam.
"Hasil siasatan mendapati tiada pencemaran bau dan udara berlaku," katanya.MPHS berkata, jabatan teknikal pihaknya mengenakan tindakan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing."Bagi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), tiga notis dikeluarkan mengikut UUK Tred,Perniagaan & Perindustrian (MDHS) 2007."Jabatan Penguatkuasa pula keluarkan (3 notis) mengikut Seksyen 3,UUK Tred, Perniagaan & Perindustrian (MDHS) 2007 manakala Jabatan Bangunan (3 notis) mengikut Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133).Sementara itu, Jabatan Perancang (3 notis) mengikut Seksyen 26(1) Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172)." katanya.
Sumber : Berita Harian Online
Kemaskini pada 2025-03-26 07:25:12 daripada Administrator