SHAH ALAM, 14 APRIL: Pemilik harta dan individu yang menggunakan aplikasi bil cukai taksiran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berpeluang memenangi hadiah sebuah Perodua Myvi.
Bahagian Korporat MPHS memaklumkan Kempen Cukai Taksiran 2025 sejak 1 Januari sehingga 30 Jun bertujuan menggalakkan lebih ramai penduduk menjelaskan cukai taksiran secara dalam talian.
“Kempen ini menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai RM160,000 keseluruhan. Antara hadiah menarik ditawarkan adalah sebuah kereta Perodua Myvi, empat motosikal Yamaha serta pelbagai barangan elektrik dan elektronik.
“Cabutan hadiah akan diadakan secara berperingkat mulai 28 April ini, manakala cabutan hadiah utama dijadualkan pada 21 Oktober (tertakluk kepada perubahan),” katanya menerusi kenyataan.
Syarat penyertaan cabutan bertuah adalah peserta mestilah warganegara dan pemilik harta berdaftar di kawasan MPHS selain melunaskan bayaran bil cukai taksiran secara maya.
Peserta juga perlu menjelaskan cukai taksiran 2025 (penggal satu dan dua) dan tiada sebarang tunggakan serta tidak menerima sebarang insentif daripada Kerajaan Negeri atau MPHS.
Pemilik harta yang belum membuat pendaftaran bil cukai taksiran secara dalam talian boleh mengimbas kod QR pada bil yang dihantar dan melengkapkan borang melalui pautan https://mphs.app/mphs/index.php
Menurut MPHS, manfaat pendaftaran cukai taksiran secara maya adalah pemilik dapat menguruskan bil lebih cekap, mudah menerima notifikasi pembayaran dan peringatan secara digital selain boleh diakses bila-bila masa.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Jabatan Perbendaharaan MPHS di talian 03-6064 1331 (sambungan 135/151) atau layari laman sesawang MPHS di www.mphs.gov.my
Kemaskini pada 2025-04-16 08:30:28 daripada Administrator