Keadaan tiga kenderaan termasuk sebuah treler dan lori tangki yang terbabit kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Serendah, semalam. - Foto PDRM
HULU SELANGOR: Polis menahan seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 39 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Serendah, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata pemandu lori tangki berusia 57 tahun itu ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, jam 4.05 pagi tadi.
"Suspek ditahan selepas ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
"Pemandu itu juga ada lima rekod lampau kes dadah dan 32 rekod kesalahan trafik," katanya dihubungi.
Terdahulu, media melaporkan nahas jam 4.35 petang semalam itu membabitkan sebuah kereta Proton Saga, treler dan lori tangki.
Mohd Asri dilaporkan berkata, Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 31 tahun dilanggar dari belakang oleh lori tangki.
Lori tangki itu kemudian memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan treler.
Semua pemandu bagaimanapun tidak cedera.
Kemaskini pada 2025-05-05 08:40:12 daripada Administrator