Keadaan motosikal Yamaha 125ZR selepas merempuh sebuah lori yang tiba-tiba masuk ke laluan mengakibatkan penunggangnya maut dalam nahas di Jalan Industri Zuhrah, Rasa, Hulu Selangor malam tadi. - Foto PDRM
HULU SELANGOR: Perjalanan seorang lelaki pulang ke rumah selepas menghantar isterinya ke tempat kerja bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Industri Zuhrah, Rasa, di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.25 malam, mangsa berusia 39 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha 125ZR ditunggangnya merempuh lori.
Difahamkan, isteri mangsa bekerja di sebuah pusat jagaan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata siasatan awal mendapati penunggang motosikal dalam perjalanan dari Kuala Kubu Bharu ke Bukit Beruntung.
"Tiba di lokasi, sebuah lori tanpa muatan dipandu lelaki berusia 36 tahun tiba-tiba keluar dari simpang kiri dan masuk ke laluan mangsa.
"Disebabkan jarak yang dekat, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan berat itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kemaskini pada 2025-05-13 08:14:48 daripada Administrator