Julaihah (empat dari kanan) menyerahkan dokumen kepada Lu Zhan (enam dari kiri) dalam satu majlis pada Khamis.
HULU SELANGOR - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah meluluskan cadangan pemajuan projek kilang pemasangan bateri yang melibatkan pelaburan sebanyak RM260 juta.
MPHS dalam kenyataan memaklumkan, pelaburan tersebut bakal menjana antara 1,700 hingga 2,000 peluang pekerjaan untuk penduduk sekitar.
Menurut MPHS, projek berkenaan bakal dibangunkan di Serendah yang turut menempatkan pelabur utama seperti UMW Aerospace, Perodua dan Longi Malaysia.
"MPHS 14 Flagship merupakan antara komponen di bawah inisiatif High Speed Hulu Selangor yang menggunakan modul Industrial Green Lane (IGL) dalam sistem OSC 3.0 Plus Online," katanya pada Jumaat.
MPHS memaklumkan, melalui kaedah tersebut, surat kelulusan dikeluarkan sejurus selepas mesyuarat dan pemaju boleh memohon lesen sementara sebelum lesen penuh dikeluarkan sebaik Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) diserahkan.
Ujar kenyataan itu, surat kelulusan kebenaran merancang (KM), pelan bangunan, pelan kerja tanah serta pelan jalan dan parit ditandatangani oleh Yang Dipertua MPHS, Julaihah Jamaludin sejurus mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan OSC.
Dokumen tersebut kemudiannya diserahkan kepada Pengarah Pelaburan Linergy Power Sdn Bhd, Lu Zhan.
Jelas kenyataan itu, permohonan tersebut merupakan yang kedua diluluskan di bawah inisiatif MPHS 14 Flagship.
Kenyataan itu menambah, MPHS komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor menerusi Invest Selangor dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke daerah ini.
"Peningkatan pelaburan di Hulu Selangor bukan sahaja melonjakkan nilai hartanah, malah memberi limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan."MPHS juga akan terus memastikan proses pelaburan dipermudah selaras dengan inisiatif Ease of Doing Business in Hulu Selangor," jelas kenyataan itu.
Kemaskini pada 2025-06-23 08:06:55 daripada Administrator